Pages - Menu

Sunday, May 06, 2012

SIFAT AKHBAR & BUKU-BUKU ILMIAH DALAM "MENYERU"




Kenapa surat khabar menjadi tatapan ramai masyarakat? Kenapa sebahagian besar akhbar-akhbar dikeluarkan berbentuk harian serta disebarkan keseluruh pelusuk masyarakat dengan mudah melalui agen dan individu-individu yang pelbagai. Walaupun input yang pelbagai dimuatkan dan sebahagian juga dimuatkan perkara yang tidak berfaedah, akan tetapi tarikan pembaca tetap diterima oleh lapisan masyarakat.

  Cuba kita perhatikan buku-buku karangan ilmiah yang tersusun rapi di kedai-kedai yang menjadi tatapan manusia dan kekadang itu umpama pameran barangan muzium yang sekadar dihinggap seketika oleh masyarakat. Pameran khusus buku-buku karangan ilmiah perlu dilaksanakan dengan hebat serta gah untuk menarik perhatian masyarakat berbanding akhbar-akhbar yang dikeluarkan sehingga ada terjual di kedai-kedai runcit serta di tepi-tepi jalan oleh pengedarnya.

    Apa yang terjadi kepada buku-buku ilmiah? Mungkin tahap pemikiran masyarakat terhadap kecaknaan ilmu pengetahuan agak kurang.

   Kalau kurang, apakah peranan akhbar-akhbar keluaran harian, mingguan atau bulanan terhadap artikel-artikel yang dikeluarkan? akhbar untuk perkara-perkara berita semasa atau perkembangan politik yang kekadang sumbernya tidak tepat.

    “Eh kalau tidak tepat, editor serta penulis mana yang dilantik oleh syarikat-syarikat akhbar”? apa yang pasti akhbar ini sifatnya tidak sama dengan buku-buku ilmiah.

   Persoalan-persoalan diatas ingin dibawa oleh penulis pada arikel kali ini untuk berkongsi dengan pembaca berkaitan dengan method dakwah yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini. Mungkin kepakaran serta minat seseorang itu mempunyai kelainan mengikut latar belakang pengajian atau cara hidup yang wujud disekeliling masyarakat.

   Kepakaran yang wujud dalam diri seseorang merupakan kelebihan untuk mengisi posisi dalam masyarakat dalam membina ketamadunan manusia yang hebat. Mungkin kita mempunyai kelebihan dalam pengajian Usuluddin. Tetapi disana wujudnya mereka-mereka yang mahir dalam bidang perekonomian, kejuruteraan, perubatan serta kepakaran-kepakaran yang lain.

    Kewujudan kepelbagaian bidang pengajian tidak boleh disatukan melalui cetakan sebuah buku yang dalamnya mengisi tentang ilmu-ilmu mengikut bidang masing-masing. Mana mungkin buku yang ingin dibeli oleh pelajar-pelajar dalam bidang kimia termasuk juga di dalamnya perbincangan tentang ekonomi.  Dan begitu juga dalam bidang-bidang yang lain.

    Keperluan mereka dalam menguasai bidang masing-masing merupakan tuntutan yang besar serta merupakan keperluan dalam menjaga dasar-dasar ilmu yang wujud. Apa yang hendak dibawa oleh penulis adalah bagaimana hendak disatukan mereka?  Dan bagaimana bidang-bidang mereka ini boleh membina minat kepelbagaian masyarakat serta menjadi kecaknaan semua pihak.

    Mereka boleh disatukan dengan satu matlamat iaitu dakwah? “Eh dakwah hanya untuk pelajar syariah yang belajar tentang iman dan takwa menurut qoul-qoul pelbagai ulama’, mana mungkin mereka yang belajar perubatan nak berdakwah”. 

       Ini merupakan konsep yang silap dan mungkin tidak tersedar dengan sengaja terhadap apa yang berlaku. Mungkin satu kepelikan jika seorang doktor perubatan boleh memberi tazkirah di surau-surau kerana biasa tempatnya di klinik. Dan mungkin tidak pelik jika pelajar syariah yang mengajar di surau walaupun pelbagai perkara yang disebut dan kekadang itu menyalahi dasar-dasar ilmu dalam bidangnya sendiri.

      Sebenarnya kewujudan kepelbagaian bidang mampu membina generasi yang bertamadun seperti pernah wujudnya ilmuan-ilmuan islam yang mempunyai kepakaran-kepakaran yang pelbagai . lahirnya Ibnu Sina, Khawarizmi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi. Mereka juga mendasari ilmu-ilmu seperti fiqh, tafsir dan lain-lain. akan tetapi mereka masyhur dengan bidang
perubatan, matematik, falsafah dan lain-lain sehingga khazanah ini diperakui oleh negara-negara barat.

      Maka dakwah dalam tuntutan semasa untuk menarik perhatian umum masyarakat adalah menyatukan kepelbagaian latarbelakang pengajian dibawah cetakan umum tentang apa matlamat dasar-dasar ilmu yang wujud.

      Apa matlamat pengajian bidang perubatan? Mungkin kita boleh sebut untuk menjaga maslahah manusia dari segi kesihatan dalam kehidupan.
     Apa matlamat pengajian bidang ekonomi? Untuk mengatur cara manusia dalam urus tadbir kewangan diri, keluarga, masyarkat serta negara.
     Apa matlamat pengajian syariah? Dengan ilmu syariah, ia boleh membawa kita untuk menjadi seorang insan yang mendasari ilmu-ilmu hadis, maka dengan mendasari ilmu hadis kita mampu mengetahui sabda-sabda rasullullah S.A.W  dengan tepat. Begitu juga ilmu-ilmu syariah yang lain.

      Maka dengan jelas kita mampu membuat kesimpulan terhadap bidang yang kita cuburi mempunyai kaitan dengan kebaikan manusia.  Kesimpulan yang paling besar untuk disebutkan disini adalah sebahagian besar ilmu-ilmu yang wujud dalam dunia ini mempunyai kaitan dengan kitab Al Quran sebagai wahyu Allah S.W.T.  Maka unsur rabbaniah dalam mendasari apa-apa ilmu perlu diterapkan supaya kepelbagaian membawa fungsi-fungsi kita sebagai manusia di muka bumi ini.

     Berbalik kepada anologi awal yang disebutkan tadi berkaitan dengan sifat akhbar dan juga buku-buku ilmiah yang diukur dengan minat umum masyarakat terhadapnya tidak membawa maksud untuk memperlekeh kewujudan, akan tetapi kayu ukur disini adalah sifat yang wujud dan menyebabkan tarikan masyarakat terhadapnya. Mana mungkin hendak disamakan sumber dari keduanya, dan kita semua mengakui dasar-dasar ilmu perlu dirujuk pada buku-buku ilmiah yang wujud mengikut skop masing-masing.

   Apa yang ingin diketengahkan kepelbagaian dalam akhbar seperti isu ekonomi, isu politik, isu masyarakat, isu sukan dan pelbagai lagi dicetak dalam satu akhbar. Dan saya berani menyebut bahawa kesemua isu yang dibawa adalah isu agama. Tinggalnya ia mungkin tidak diolah oleh orang yang berfikrah agama dalam bidang masing-masing seperti ekonomi, sosial, politik dan lain-lain.

    Jika sebuah Al Quran mampu mendasari pelbagai ilmu pada hari ini, maka kita sebagai membawa dasar yang telah didokumenkan oleh Allah ini untuk diolah dalam pelbagai aspek kehidupan serta menjadikan setiap olahan itu mampu menarik manusia kepada ketaatan yang satu.

    Sekali lagi penulis ingin mengetengahkan permasalahan yang berlaku dalam masyarakat kita terhadap mereka-mereka yang mempunyai latarbelakang pengajian pelbagai.

 “Kalau aku menguasai ilmu syariah, maka dakwah merupakan bidang aku”.  Maka bidang yang lain tidak merasai keperluan dakwah dalam bidang-bidang mereka.

    Kewujudan ruang perbincangan agama dalam akhbar merupakan satu kebaikan. Tetapi kewujudan ruang sukan dalam akhbar mempamerkan berita serta gambar-gambar tidak senonoh tidak mempunyai masalah walaupun dalam akhbar yang satu.

   Begitu juga ruang ekonomi diteterakan perkara-perkara riba yang menjadi perkara biasa yang tidak dimasukkan unsur-unsur kaitan dengan ketuhanan, sedangkan semua aspek kehidupan tidak dapat lari dari dosa atau pahala, syurga atau neraka. Ruang agama dalam akhbar yang disebutkan tadi kekadang membawa isu menyeru kepada amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

   Mungkin menyeru kebaikan hanya kepada rakyat-rakyat dikampung-kampung supaya pergi masjid serta menekankan larangan perbuatan mungkar seperti sifat masyarakat yang tidak bayar zakat. Tidak dinafikan tentang keperluan tersebut, tetapi dimana isu kemungkaran kerajaan dalam urus tadbir negara seperi isu-isu rasuah, pentadbiran ekonomi yang lemah. Maka ia bukan isu agama menurut sesetengah lebai-lebai yang berketayap putih ini.

   Kesimpulannya, keperluan kita mendalami bidang masing-masing merupakan tuntutan yang besar serta jangan lupa untuk membina ilmu yang didasari itu diolah menjadi suatu ilmu yang hidup. Apabila suatu ilmu itu hidup, maka ia perlu disenergikan dengan perakuan kita sebagai manusia untuk menggerakkan kepakaran bersama dalam membawa ke lapangan manusia supaya diterima seperti penerimaan mereka terhadap akhbar-akhbar harian yang boleh diageh oleh siapa-siapa sahaja kepada semua lapisan masyarakat yang mempuyai kelainan tahap pemikirannya.

2 comments: