Meneliti novel
satira juvenalia karangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang bertajuk
‘SHIT’ banyak memberi pengajaran bahawa
politik itu satu yang bersih suci namun ia sentiasa berkulat berulat angkara
tamakkan manusia. Maka setiap tempoh tertentu jijikan politaik itu harus
dikemut keluar agar ia kembali bersih membawa konsep dan agenda politik
mengikut lunas dan panduan Islam. Setiap zaman pasti akan lahir wirawan yang
akan mencuci kotoran nista itu.Dan selalunya wirawan itu daripada kalangan pemuda
berambut hitam mahupon mahasiswa berkulit tegang.Kronologi sejarah negara juga
membuktikan betapa gelombang Merdeka ciptaan pemuda berambut hitam dan
mahasiswa berkulit tegang itu berjaya merealisasikan MERDEKA walaupon gelombang
itu disambut oleh Si Bapa berambut putih perang. Penangan golongan pemuda atau
mahasiswa ini cukup besar dan akan bertambah hebat andainya mereka diberi
kemudahan dan bantuan panduan cukup pada kadarnya. Kecaknaan dan kepedulian
mahasiswa pada agama negara bangsa adalah satu anugerah yang wajib dilayani dan
diberi landasan serta dataran yang merdeka agar mereka boleh terus berkarya.
Kini bahang Pilihanraya Kampus
(PRK) 2012/13 kembali membara di Malaysia.Ada yang mengambil ia sebagai bara
positif yang akan terus membina mahasiswa.Dan tidak kurang yang merasakan PRK
adalah satu proses retorik membuang masa mahasiswa. Tetapi terimalah satu
hakikat bahawa sekurang-kurangnya PRK adalah cerminan masa depan kematangan
politik dan intergriti pemimpin negara. Namun amat dikesali apabila bahang
itu sering ingin dipadam dek tindakan yang tidak sewajarnya. PRK yang awalnya
bersih dikenali sebagai ‘Pilihan Rasa Kamu’ kini dihantui dengan bayangan
‘Pilihan Rektor Kamu’ harus segera diperbaiki. Sangkaan dan tuduhan ini akan
mencacatkan intergriti universiti dan masa depan negara tambahan ia semakin
rancak dibual di kafe-kafe kampus sehinggalah ke kedai kopi kampung. Campur
tangan golongan ilmuan berpangkat Doktor dan Profesor secara berat sebelah amat
dikesali. Cerdik pandai itu seharusnya menjadi pembimbing politik varsiti bukan
menjadi kaki orang politik atas nama penjawat awam atau pon ‘ini arahan’. Saya
merayu kepada sekalian ayahanda bonda, izinkanlah mahasiswa ini berkarya
strategi dengan matang dan bebas dari
jijikan tangan-tangan luar.
Lebih utama dan penting adalah
diri mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa wajib menjadi jaguhan berprinsip dalam
mendaki menara gading.Mahasiswa bukanlah golongan yang mudah menerima sogokkan
dan suapan samada berbentuk kewangan mahupon markah tambahan.Tetapi mahasiswa
adalah golongan yang akan berdiri atas amanah ilmu dan realiti keperluan
mahasiswa. Maka mahasiswa harus cerdik dalam menilai janji dan propaganda
samada dari NGO luar,parti-parti politik mahupon pengurusan universiti yang
mencari kaki. Mahasiswa harus mendengar sendiri suara hati mahasiswa lain yang
memerlukan bimbingan dan kesejahteraan belajar. Selain itu, kebajikan dan
pembangunan mahasiswa adalah dua elemen penting yang harus mendasari setiap
manifesto pemilihan kita. Tiada guna jika hanya pandai membina jalan ke Bandar pekan,
tetapi jahil memandu jalan kembali pada tuhan. Oleh itu, bebaslah mahasiswa
sekalian memilih pencorak suasana anda.
Membanding
suasana politik kampus di Malaysia,mahasiswa di luar negara khususnya Jordan
bertuah kerana senantiasa diberi kebebasan berpanduan oleh pihak kedutaan besar
Malaysia-Jordan dan Education Malaysia Jordan.Mahasiswa disini dihidangkan PRK
yang terbuka luas tanpa sebarang sekatan,tajaan calon mahupon apa-apa doktrin
sempit. Malah pihak EM Jordan senantiasa memantau kemantangan minda mahasiswa
agar relevan dan cakna pada tuntutan agama masyarakat dan negara.Maka saya
bersama seluruh mahasiswa Mafraq Jordan dengan ini mendoakan kesejahteraan dan
kejayaan calon yang ikhlas dan bersih. Semoga PRK 2012/13 ini menjadi dataran
merdeka buat mahasiswa dalam membina pelapis pemimpin masa depan agama
masyarakat dan negara dalam acuan politik baru yang hebat.
Saudara Nihad Matnor
Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Al al-Bayt
(PRISMA)
Mafraq, Jordan

No comments:
Post a Comment