Pages - Menu

Tuesday, May 08, 2012

WARKAH BUAT GEN-17 PRISMA



Bila ditanya kepada seorang pelajar di sebuah sekolah yang baru baginya, kenapa kamu nampak macam kekok serta tidak cerdas ni?

Lantas dia menjawab: saya tidak biasa dengan suasana ini, tetapi saya yakin bahawa saya akan cuba untuk membawa  diri bersama kawan-kawan lama  yang turut bersama bersekolah disini.

Lalu ditanya sekali lagi, kenapa ada kawan-kawan yang biasa dengan kamu dahulu tidak bersama kamu?
Jawabnya: saya inginkan gelak ketawa kami dulu dibina bersama orang lain juga. Supaya kenangan yang pernah dibina bersama menjadi kenangan yang luas serta dikongsi dengan kawan-kawan yang baru.

Teringat kepada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)

          Kami melanjutkan perbualan dengan pelajar tersebut dan menanyakan pelbagai kenangan lama serta persediaan untuk menghadapi suasana sekolah baru ini. Walaupun suasana dimarahi oleh guru disiplin sekolah dahulu sebagai kenangan pedih baginya, serta berhadapan dengan guru besar yang bermisai tajam menusuk jiwa tatkala diherdik, akan tetapi peristiwa itu mampu membina diri untuk sampai ketahap ini menurut kata pelajar tersebut.

    Sambung pelajar itu lagi: ‘tawa riang kami sepanjang  bersama bak adik abang.Kami bagaikan tidak pernah mengerti segmentasi perpisahan disebabkan hubungan nan gembira itu..

   Akhir kata pelajar tersebut menyebut kata-kata ini:
“ibaratkan suka atau duka sebagai  mengeletek rusuk orang tua yang mungkin terlatah serta terkeluar dari lisannya perkataan yang tidak terancang, akan tetapi senyum ketawa selepas itu bila disedari keadaanya dan makin akrab dari sebelumnya "



     Alhamdulillah setelah berada disuasana gelak tawa dan suka duka bersama pimpinan PRISMA sesi 2011/2012, teringat satu kalimah yang hendak saya kongsikan bersama untuk ditatapkan di kalbu sebagai kenangan ketika mendayung sampan meredah lautan hijau dihumban ombak ganas yang membasahi kelopak mata diakhir perjalanan.

    Kini sudah sampai di tebing persinggahan arus sungai yang bergerak laju. Ada dalam kalangan kami yang melangkah ke bahtera yang lebih besar dan ke perahu yang lebih gagah untuk menghadapi arus yang lebih tajam. Walaupon dalam travelasi ini,kadang-kala menemukan tebing berpasir halus nan melenakan,saya yakin dan pasti  tiadanya dalam kalangan kami yang terhenti serta melangkah ke tebing  itu untuk sekadar melepas diri dari perahu yang  selalu memeritkan hati dan minda ini.

      Saff pimpinan yang telah mengakhiri kebersamaan jasad tidak penamat pada hati di sampan yang kecil ini mungkin lebih besar dan mencabar dalam perjalanan melangkah ke bahtera raksaksa itu. Persinggahan wida’ disaluti semangat serta kekuatan untuk kami yang masih kekal di sampan kecil ini bagi meneruskan perjalanan dilereng-lereng cerun bukit yang tidak kurang cabarannya bersama pengemudi-pengemudi yang baru diambil dari tebing persinggahan tadi.

     Ayahanda KH Fikri Khusainy sebagai guru besar yang bermisai tajam sentiasa menunjukkan ketabahan dalam meghadapi kepelbagaian keadaan yang kekadang itu terdetik pada diri kami persoalan bagaimana ketabahan itu boleh kami dapatkan !

      Begitu juga Abang Long Fakhrulhadi yang sentiasa peka akan kelakuan adik-adiknya. Diherdik seperti dibelai, dimarahi seperti digosok, disuruh seperti diajak dan itulah sikap abang long kami yang mengeletek jiwa untuk senyum seorang diri.

      Abang Ngah Khomeini seorang yang tegas tapi mudah berceloteh sebagai gambaran keramahan yang wujud pada lubuk hatinya.  Tersenyum bila teringat gurauan yang mungkin sudah tidak kembali lagi seperti dulu. Makin serius bila digambarkan situasi sekarang. Maklumlah kalau dulu ke rumahnya mungkin sampai ke dapur, tapi kini mungkin hanya di ruang tamu. sahaja

       Bila mengimbau kembali keberadaan mereka dalam mengemudi armada  PRISMA pada sesi lepas, satu pemerhatian yang besar perlu diberikan khususnya kepada penyokong-penyokong disebalik tabir. Ramai mereka yang tidak mampu kita lihat keberadaan mereka dalam pentas yang umum, akan tetapi mereka ini penyuntik semangat bagi menggerakkan sebuah bahtera ini.

       Cuba perhatikan kelab bola sepak yang berjaya seperti Manchester United. Disana ada pengurusnya iaitu Sir Alex Ferguson. Disana juga ada sebuah team yang diurus oleh beliau terdiri dari pelbagai posisi seperti striker Wayne Rooney, pemain pertahanan utama Rio Ferdinand, pemain di posisi sayap (wings) Nani, Valencia, Park Ji Sung dan ramai lagi yang memenuhi posisi masing-masing termasuk pemain simpanan. Dibarisan pengurus juga tidak keseorangan, adanya jurulatih penjaga gol seperti Eric Steele dan pengurus-pengurus di bahagian lain.

      Kehebatan pasukan Manchester United tidak hanya kepada pengurusnya atau pasukan yang diatur untuk perlawanan-perlawanan, ia juga disebabkan partisipasi dalam kalangan penyokong-penyokong setia Red Devils ini yang sentiasa melaungkan gol..gol,golll gooollll (bernada pengulas Arab) kepada team yang mempersembahkan permainan yang berstrategi dihadapan mereka.

     Itulah sinergi yang wujud di antara pengurus, team yang dipersembah serta penyokong setia Manchester United. Kalau cuba kita kembali kepada situasi di sebuah persatuan, adanya pengurus yang bernama AMT, dan adanya team yang diatur kepada posisi masing untuk mempersembahkan program-program kepada penyokong-penyokong mereka yang digelar AME samada bahagian sukan, akademik, kebajikan dan lain-lain. Dan tidak lupa kepada semua ahli yang melaungkan united…united..united demi melihat kejayaan sebuah kelab yang bernama PRISMA.

      Alhamdulillah sesi melabuhkan tirai dengan wujudnya suasana yang kondusif untuk melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang kebanyakan dijayakan oleh semua ahli-ahli yang memberikan dokongan terhadap pergerakan persatuan. Kerahan fikiran yang wujud di pelbagai sudut samada bagi menggerakkan suasana ilmiah serta suasana  tarbiah telah membawa kemajuan terhadap mentaliti komuniti mahasiswa di sini.

    Begitu juga dengan kerahan tenaga dalam melaksanakan program-program seperti kesukanan harus diakui sebagai salah satu elemen kesatuan yang wujud dalam komuniti ini. Tinggal lagi kesatuan yang telah wujud ini perlu diisi dengan elemen penting iaitu ilmiah di pelbagai kondisi. Mungkin istilah ilmiah hanya kita mampu tergambar seperti pelajar-pelajar yang menggalas beg dan membimbit buku di ketiak sebagai orang ilmiah. Ataupun mereka yang memberi ceramah melaungkan dalil dan bahasa tinggi  sebagai ilmiah.

      Sebenarnya bila kita kembali kepada istilah akademik, ia membawa sesuatu makna yang luas menjangkaui batasan suasana serta jenis manusia. Tidak pernah kita terlintas sebagai pelajar yang sedang bermain badminton untuk mempersoalkan apa asal usul permainan ini? Siapa tokoh-tokoh dalam sukan ini dan apa objektif kita bermain permainan ini. Itulah nilai ilmiah yang perlu wujud tambahan kita sebagai penuntut ilmu. Insya’allah saya akan membawa satu perbincangan dalam artikel yang lain berkaitan kerangka akademik yang komprehensif.

       Berbalik kepada warkah yang dituju khas kepada warga PRISMA secara umumnya serta khas buat pimpinan sesi lepas sebagai pendokong yang tidak terhenti kepada komuniti ini. Nilai setitik air yang diutamakan menjangkaui apa sahaja bekas yang dijadikan wasilah untuk mengumpulnya. Samada gelas, tempurung, timba, botol merupakan cara kita untuk memperjuangkan air untuk diminum. Minum setitik –setitik tidak membawa kekuatan kepada kita untuk terus berjalan. Tetapi jika setimba diminum maka laju dan hebatlah kita.

     Begitu juga kalau kita ibaratkan air itu islam, dan bekas itu sebagai persatuan, mungkin di Mafraq bekasnya PRISMA, pergi ke Irbid bekasnya PERMAI dan begitu juga kalau ke Saudi Arabia adanya bekasnya bernama PERSADA. Begitu juga kalau kita pulang ke Malaysia dalam misi memperjuangkan Islam ada bekasnya. Semoga pertukaran bahtera atau bekas minuman tidak membawa apa-apa perbezaan kepada kita kerana membawa matlamat yang satu iaitu air atau jenis bahtera.

   Selamat maju jaya kepada semua, semoga perjalanan kita yang diikat oleh tali akidah membawa haluan yang sama dari pelbagai sudut yang berbeza.

Penyambung Tugas
Penyapu Bayt PRISMA 2012/13

Nihad Matnor

11.46 Malam
8 Mei 2012

No comments:

Post a Comment